Hari Lebaran

Setelah semalaman kami bertungkus lumus menyiapkan hidangan, akhirnya hari yang ditunggu pun tiba. Takbir raya terus-menerus dikumandangkan. Aku, Syah, Awie, Ranjit, Amin, Oja, Paklan dan dD di rumah aku di Park Hill membuat nasi impit sendiri dan lemang segera Adabi yang dikirim dari Malaysia oleh keluarga masing2. Di Gateway, askar2 di bawah jagaan bro Farid bertungkus-lumus menyiapkan 2 jenis rendang dan kuah kacang untuk dimakan bersama nasi impit.

Ada yang tertidur kerana keletihan namun aku terus berjaga menantikan pagi Aidilfitri. Sebaik sahaja masuk waktu Subuh, aku terus mandi sunat Aidilfitri dan berhias kerana mandi dan berhias itu perkara yang disunatkan di Satu Syawal. Kemudian, aku bertakbir raya (sambil main xbox) menantikan Aditya datang mengambil kami dengan keretanya untuk ke Masjid bagi menunaikan Solat Sunat Aidilfitri.

Tepat pukul 8 kami sampai di masjid. Kelihatan ramai umat Islam dari seluruh dunia sedang khusyuk mengalunkan takbir raya. Kami tidak mahu ketinggalan. Walaupun alunan takbir mereka berbeza dari alunan syahdu takbir raya di Malaysia, aku cuba juga mengikut alunan mereka. Kadang2 aku tanpa sengaja mengalunkan takbir raya yang di Malaysia. Dalam hati ini, aku sayu, sayu melihat umat Islam yang jauh dari tanah air masing2 berkumpul dengan satu hati untuk meraikan hari kemenangan. Aku sayu terkenanglan kebersamaan aku dengan keluarga di Masjid Kubang Kerian di Kelantan ketika ini. Aku sayu bile memikirkan apa yang kami sekeluarga biasa lakukan sepulang dari bersolat raya. Aku tabahkan hati. Aku cuba tersenyum. Cuba untuk memberi konsentrasi pada khutbah yang diberikan. Khatib banyak berbicara tentang Ramadhan. Tentang bagaimana kita selepas berlalunya Ramadhan. Aku cuma dapat tangkap poin utama khutbah iaitu beribadah kepada Allah SWT, bukan beribadah kepada Ramadhan. Aku tahu, khatib cuba memberi peringatan supaya amalan2 yang dilakukan dalam bulan Ramadhan dapat diteruskan dalam bulan2 yang lain. Kalau tak sama dalam kuantiti cukuplah sekadar sama dalam kualiti ibadah tersebut. Yang penting, ia berterusan...

Pulang dari masjid, kami mengemas rumah untuk tetamu yang akan datang tak lama lagi. Hidangan2 diletakkan di atas meja. Tak banyak yang kami ada tapi cukuplah untuk mewujudkan suasana hari raya itu. Yang penting konsep ziarah menziarahi dan bersalaman (memaafkan) itu wujud. Taqabbal Allahumma Minna Wa Minkum, ucapan yang disunatkan diucapkan kepada satu sama lain. Dalam menunggu tetamu yang datang aku terlelap kerana keletihan. Belum sempat aku menjamah hidangan pagi raya aku sudah tidur... Dalam tidur aku yang tak seberapa lena itu, aku dapat dengar suara roomie si dD (American) berlatih menyebut "Selamat Hari Raya" beberapa kali. Aku tak sedar sangat, mungkin aku sedang tersenyum bila mendengar ucapan yang kepelatan itu.

Aku bernasib baik sebab aku tiada kelas yang penting2 hari ini. Yep.. sebenarnya, hari ni persekolahan masih berjalan. Esok baru cuti hari Thanksgiving bermula. Kesian plak aku tgk rakan2 yang terpaksa ke kelas kerana ade kuiz dan sebagainya.

Aku terbangun bile mendengar suara riuh rendah di ruang tamu Gateway. Rupa-rupanya Mahirah, Oja dan askar2nya sudah tiba. Sambil menjamu hidangan sambil bermain Xbox; itulah yang dapat aku lihat. Aku basuh muka dan ambil kesempatan ini untuk bersalam-salaman dengan mereka. Kemudian aku pula yang berjamu. Lemang, serunding dan rendang menjadi sasaran utama. Ish ish.. sedapnya. Terubat rindu aku pada lemang di kampung. Jadilah... segera pun segera la.. asalkan lomang!!

Hari sudah semakin petang. Aku terus pulang ke Park Hill kerana tiba giliran rumah aku dan Syah pula untuk diserbu. Kami tak buat apa2 sangat. Syah ada buat kek2 dan rendang. Nasi impit dan lemang yang dibuat semalam pun rasanya cukup.

Aku penat. Namun aku tetap gagahkan diri, menghiburkan hati dalam Satu Syawal kerana aku yakin, di luar negara ini tak macam di Malaysia. Hari raya Kedua, Ketiga masih meriah, semeriah hari raya pertama. Tapi di sini, siapalah yang ada pun. Cuma kami berempat-puluh sahaja. Malam itu perayaan diteruskan di rumah Aunty Fuzy. Baru dapat aku rasakan kemeriahan Aidilfitri bila berada di sini. Malaysian community berkumpul tanpa mengira bangsa dan agama untuk meraikan hari raya. Aku cuba tegur semua orang yang boleh. Yang belum kenal, aku cuba berkenal-kenalan. Yang tersalah silap, aku memohon ampun dan maaf. Hidangan2 di sini lebih meriah. Pisang Goreng, Mee mamak, Roti canai pun ada. Puas aku melantak hidangan2 yang "rare" sebegini. Seronok aku melihat telatah masing2 yang ceria bergelak ketawa, seseceria baju melayu dan baju kurung yang berwarna-warni mereka.

Begitulah perayaan hari pertama di perantauan ini. Rakan2 di sini sebagai pengganti keluarga yang jauh di tanah air. Dalam hati ini, aku melafazkan shukur dengan nikmat yang dikurniakan ini.
Selamat Hari Lebaran.... Maaf Zahir & Batin...

(Isnin nih Final!! waaaaaaaaaaaa!!)

Posted by Ahmad Fadzli on November 26, 2003 at 3:56:00 PM | Permalink