"ala biarlah dia nak buat apa pun...bukannye dia kacau org...yg ko sibuk sgt apesal?"

sudah berapa kali kita dgr komen spt ini setiap kali kita terlihat maksiat berlaku depan mata?sedar tak sedar sikap inilah yg merugikan umat Islam masa kini...sikap tidak peduli..

Ambil Peduli VS Tak Ambil Peduli

"Peduli apa orang lain, yang penting aku hidup senang!"

"Kubur aku kubur akulah, kubur kau kubur kau lah!"

Aapa reaksi kita bila berdepan dengan orang yang bercakap begitu?Sakit hati kan?Bukan saja kita tak boleh terima, Islam juga tidak terima dan mencela sikap keji itu. Apakah perkara-perkara yang dapat menyuburkan sikap ambil peduli dan apa yabg menghalang wujudnya sikap peka dan peduli umat ini?

Penyubur Sikap Peka dan Peduli

a. Kenal diri - tahu kekuatan dan kelemahan diri sendiri.Dengan itu sedar perlunya saling bergantung dan saling membantu.

b. Kenal kehidupan - tahu apa tujuan hidup dan ke mana halatuju dalam hidup

c. Mengutamakan kepentingan akhirat lebih dari dunia - oleh itu sentiasa ingat akan ganjaran Allah di akhirat utk orang yang berbuat baik

d. Sedar bahawa segala yang ada padanya adalah hakikatnya pinjaman dari Allah termasuklah kelebihan, ilmu, harta dan kedudukan

e. Benar-benar meyakini dan menghayati qada' dan qadar. Oleh itu sentiasa sedar bahawa 'nasib kita belum tahu'- sedia juga membantu orang susah kerana memikirkan dia juga boleh mengalami nasib yang sama

f. Sentiasa mengharapkan kasih sayang dan bantuan Allah hingga sanggup bersusah payah untuk meraih kasih sayangNya

g. Mencontohi peribadi dan kehidupan orang-orang yang dekat dengan Allah (nabi, rasul, sahabat, wali-wali Allah dan orang-orang soleh)

h. Menghargai jasa dan budi orang terdahulu hingga timbul dorongan untuk turut berbakti dan meninggalkan budi selepas mati.



Pembantut Sikap Peka dan Peduli

a. Tidak kenal diri sendiri - tidak nampak kelemahan diri dan tidak rasa memerlukan orang lain dalam hidup

b. Tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas dan tidak nampak perlunya ambil berat perihal orang lain

c. Tamak, cinta dunia dan kebendaan (pangkat, nama, dan sebagainya) serta melupakan kehidupan akhirat

d. Ego/sombong serta hairan dan takjub dengan apa yang dimiliki (ujub)- merasakan semua itu milik mutlaknya dan tidak mahu menggunakannya untuk membantu orang lain

e. Tidak ambil hirau tentang qada' dan qadar Allah

f. Terlalu bergantung pada usaha ikhtiar sendiri dan tidak bersandarpada bantuan Allah.Oleh itu, tidak cuba meraih keredhaan dan kasih sayang Nya

g. Terikut-ikut dengan trend gaya hidup orang yang jauh dari Allah

h. Lupa daratan - tidak tahu bersyukur dan berterima kasih serta hasad dengki dan hanya mengutamakan diri sendiri



Individu muslim sejati ialah yang sangat menjaga hubungan sesama manusia, hak-hak sesama mereka dan sentiasa ambil peduli, ambil berat, malah amat prihatin tentang keadaan, nasib, dan survival saudara-saudara seagamanya. Sabda Nabi s.a.w seperti yang diriwayatkan dari Anas r.a :

"Barang siapa yang tidak memerhatikan (mengambil berat) hal ehwal kaum Muslimin, maka ia bukan termasuk golongan mereka" (Riwayat al-Baihaqi)

Wallahua'lam bissawab..

(dipetik dari Majalah Anis isu April 2003)

Posted by Ahmad Fadzli on June 25, 2003 at 10:34:00 AM | Permalink